KUALA LUMPUR – Kecemerlangan para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negara ini didakwa sudah lama menjadi ‘permainan persepsi’.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, hakikatnya di Malaysia murid-murid cemerlang dari sekolah rendah dikumpulkan di satu sekolah menengah dan sekolah berkenaan turut mempunyai pengetua dan guru yang cemerlang.
Sekolah berkenaan juga memiliki kemudahan pembelajaran terbaik, kelas tak sesak, ada bilik yang berhawa dingin, makmal sains lengkap, makan minum disediakan mengikut masa.
“Disiplin murid dipantau rapi, masa belajar, masa main, masa solat dan masa tidur ditetapkan seketatnya. Disediakan pasukan warden berelaun bulanan untuk menjaga kebajikan murid. Murid disediakan serba-serbi.
“Malah, dipasakkan setiap masa dalam minda murid ‘kamu adalah murid cemerlang’, ‘kamu murid hebat’, ‘kamu murid harapan bangsa’. “Kamu bertuah ditempatkan di sekolah hebat ini”.
“Prestasi akademik murid -murid ini dijaga rapi. Merosot sedikit terus di kaunseling, terus ibu bapa dipanggil untuk berbincang. Tugas murid-murid hanya belajar, belajar, belajar. Program latih tubi, kelas tambahan, kem kecemerlangan berterusan sepanjang tahun.
“Bila keluar sahaja keputusan peperiksaan SPM, diwar-warkan inilah senarai sekolah terbaik. Inilah sekolah contoh. Ini sekolah harapan negara. Semua sekolah lain kena contohilah sekolah ini. Kalau sekolah ini boleh cemerlang SPM, mengapa pula sekolah lain tak boleh?,” katanya yang berkongsi jawapan kepada pertanyaan seorang individu kepadanya.
Individu berkenaan bertanya kepadanya: “Dr, tengoklah keputusan SPM, sekolah siapa yang hebat?.
Bagaimanapun, Anuar membidas soalan itu dengan menyatakan ada 10,000 buah sekolah di seluruh nehara dan lebih 2,000 adalah sekolah menengah.
Dalam kalangan sekolah itu, ada sekolah yang masih kurang kemudahan, yang masih daif di pedalaman.
Ada sekolah yang masih tak cukup guru, selain ada sekolah yang bumbung bangunannya sudah lama bocor, tingkap pecah, kipas angin rosak belum tahu bila akan berganti.
“Ada murid sambil belajar kena uruskan adik yang masih kecil di rumah. Ada murid yang lebih banyak bantu ibu bapa cari rezeki dari peluang untuk belajar. Ada murid yang ibu bapa sendiri pun tak kisah prestasi pendidikan mereka. Ada murid, jangankan nak belajar, nak makan atau tidur pun masih tidak menentu. Kamu lupa rasanya.
“Kamu ingat hanya ada 20 buah sekolah cemerlang SPM sahaja di negara ini. Kamu nak berbangga kononnya ada 20 sekolah yang terhebat tapi kamu tutup mata dengan masalah dan kekurangan di ribuan sekolah yang lain?,” ujarnya sambal menyifatkan mudahnya keputusan cemerlang SPM di sekolah-sekolah tertentu ‘dipermainkan’ dengan persepsi.
Anuar meminta semua pihak membuka mata dan melihat dengan hati terbuka keadaan di 10,000 buah sekolah lain, bukan sekadar mendabik dada dengan pencapaian di 10-20 buah sekolah sahaja.
“Mendapat pendidikan berkualiti adalah hak untuk semua murid, bukan untuk segelintir sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette