Foto FB Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berada di momentum terbauk ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas meraih gelaran kedua bagi saingan musim ini selepas merangkul kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Australia hari ini.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Quaycentre, Sydney, pemain nombor lapan dunia itu menewaskan cabaran pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka menerusi aksi tiga set 21-19, 11-21, 21-18.

Sebagai rekod, ini adalah kemenangan ketiga Zii Jia ke atas Naraoka dalam enam pertemuan dengan bekas juara Asia itu turut menang pada pertemuan terakhir di kejohanan All England Mac lalu.

Selaku juara, Zii Jia membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,500 (RM148,617) berserta trofi dan pingat manakala Naraoka berpuas hati dengan AS$15,960 (RM75,299) dan pingat.

Sementara itu, temasya Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan. – MalaysiaGazette