KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan mengurniakan 26 lembu sempena ibadah korban pada tahun ini.
Baginda berkenan menyempurnakan dan menyaksikan ibadah korban yang berlangsung di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, hari ini.
Kurniaan haiwan ternakan itu diagihkan di masjid dan surau di seluruh Pahang termasuk enam lembu dihantar ke Pulau Tioman.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid itu.
Baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.25 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob, pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Solat sunat Aidiladha diimamkan Imam Masjid Negeri, Datuk Ahmad Faizul Ghazali al-Hafiz. – MalaysiaGazette