Asits Sanna

KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seramai 191 penduduk di daerah Tenom dijangkiti Gastroenteritis Akut (AGE) dan 37 daripadanya dimasukkan ke  hospital untuk rawatan lanjut.

Pengarah JKNS, Datuk Asits Sanna berkata, sebanyak 33 kes telah discaj dan empat kes lagi masih  berada di dalam wad dan dalam keadaan stabil, manakala 154 kes menerima rawatan pesakit luar.

Beliau berkata,  JKNS melalui Pejabat Kesihatan  Daerah (PKD) Tenom mula mengesan peningkatan kes AGE di daerah itu pada 4 Jun lepas menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.

“Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan antara 2 hingga 13 Jun mendapati jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191.

“Aktiviti kawalan yang telah dijalankan  termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal serta pendidikan kesihatan kepada kes dan orang awam. Setakat ini  sebanyak 19 sampel klinikal diambil daripada kes yang dimasukkan ke hospital Tenom dan didapati 16 kes menunjukkan kehadiran Rotavirus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Asits, punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air tercemar serta sampel persekitaran sudah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian dan masih dalam siasatan.

Beliau berkata, pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan bagi pemantauan pengklorinan air terawat di daerah berkenaan.

Jangkitan Rotavirus adalah jangkitan usus yang lazim berlaku pada kanak-kanak dengan gejala cirit-birit, muntah dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan.

“Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera ia boleh membawa maut,” katanya.

Langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan, masak makanan dengan cara yang betul dan sempurna.

“Menggunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit,” katanya. – Bernama