KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 ekor lembu dikorbankan oleh penduduk Taman Salak Jaya sempena Hari Raya Aidiladha pada hari ini.
Uniknya, korban dilaksanakan dengan kutipan secara bulanan daripada penduduk yang berniat untuk melakukan ibadah itu.
Pengerusi Madrasah Al-Khairiah Taman Salak Jaya, Rosli Bahari merangkap imam masjid di situ ketika ditemui berkata, kutipan secara bulanan seperti ‘kutu’ dilakukan untuk ibadah korban setiap tahun di kawasan itu.
Menurut beliau, idea cetusan muslimat masjid berkenaan dilihat dapat membantu penduduk yang kurang berkemampuan melaksanakannya, sekaligus menarik minat mereka.
“Cara ini mereka (penduduk) lebih senang dan tidak membebankan daripada sediakan RM800 sebahagian,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, sejak sistem kutu korban itu dimulakan dua tahun lalu, semakin ramai penduduk di kawasan tersebut tertarik untuk turut menyertai ibadah korban setiap tahun.
“Kalau tahun lalu kita dapat beli 15 lembu hasil kutipan setiap bulan, kali ini kita dapat kumpul 18 ekor sebab semakin ramai tertarik dengan cara ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Rosli memuji semangat setiap penduduk di Taman Salak Jaya yang mahu melakukan ibadah korban setiap tahun.
Ujar beliau, bukan itu sahaja semangat gotong-royong juga dilihatnya amat membanggakan.
“Apa yang saya lihat di sini, apa juga parti pun tapi bila melibatkan acara di masjid, ibadah korban, politik diketepikan dan semua saling bekerjasama, bantu-membantu sebagai penduduk di bawah bumbung yang sama,” katanya.
Menurut beliau, setiap keluarga fakir dan miskin di kawasan tersebut akan menerima 4 kilogram (kg) daging lembu hasil daripada korban yang dilaksanakan penduduk kali ini.
Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Taman Salak Jaya, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang turut hadir ketika korban berlangsung menyifatkan sistem tersebut memudahkan penduduk pelbagai latar belakang untuk melakukakan ibadah tersebut saban tahun.
“Mampu itu subjektif ada yang tidak mampu nak sediakan sejumlah duit sekaligus kan, bila dibuat sistem kumpul tabungan ini mungkin memudahkan semua orang untuk turut serta,” katanya. – MalaysiaGazette