Wanita warga emas dan cucu perempuannya yang sesat semasa pergi ke kebun durian mereka pada pagi Ahad di Kuala Kubu Bharu berjaya diselamatkan pagi tadi. Ihsan foto Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas dan cucu perempuannya yang dilaporkan hilang selepas pergi ke kebun durian mereka di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu semalam ditemukan dalam keadaan selamat hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kedua-dua mangsa dari suku Orang Asli itu ditemui pada jam 9.30 pagi.

“Pada jam 8 pagi tadi kita telah memulakan misi Mencari dan Menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa perempuan tempatan itu.

“Anggota penyelamat telah sampai ke check point pertama iaitu penghujung laluan motosikal.

“Berdasarkan maklumat waris mangsa, lokasi kedua-dua mangsa telah berjaya dikesan melalui panggilan telefon sebelum anggota bomba dan penyelamat menuju ke lokasi mangsa yang mengambil masa sejam daripada check point pertama itu,” katanya, hari ini.

Kedua-dua mangsa nenek dan cucu perempuannya yang dilaporkan sesak selepas pergi ke kebun durian mereka di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu berjaya ditemui selamat oleh pasukan Bomba jam 9.30 pagi tadi. Ihsan foto Bomba Selangor

Tambah beliau, pasukan sampai di lokasi kedudukan mangsa pada jam 9.30 pagi dan nenek serta cucu perempuan, masing masing berusia 62 dan 12 tahun itu, berada dalam keadaan selamat.

Semalam, Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kedua-dua mangsa sesat dan hilang pada jam 3.12 petang dengan enam anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya kerja-kerja pencarian diaktifkan sebelum ditangguhkan sekitar jam 7.20 malam semalam akibat cuaca gelap dan hujan di lokasi. – MalaysiaGazette