Gambar hiasan

NARATHIWAT – Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat mendedahkan sekurang-kurangnya 30 pasangan dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu datang ke wilayah berkenaan pada setiap bulan untuk bernikah dan berpoligami.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, kebanyakan pasangan yang ingin berpoligami datang ke wilayah ini untuk menjadi pasangan secara sah dan sanggup datang dari jauh semata-mata bagi menghalalkan hubungan.

Beliau berkata, berpoligami adalah antara punca ramai pasangan Malaysia beralih melangsungkan perkahwinan ke selatan Thailand dan tindakan berkenaan seharusnya tidak dipandang sinis dan masyarakat harus berfikiran terbuka.

“Bagaimanapun perkahwinan yang dilangsungkan di selatan Thailand tidak semudah disangka kerana ada syarat tersendiri termasuk memeriksa latar belakang pasangan.

“Antara syarat wajib, jika pasangan wanita itu janda atau balu kita perlu melihat surat cerai atau sijil mati pasangannya terlebih dahulu. Sekiranya syarat itu tidak dipatuhi atau meragukan pasangan berkenaan tidak akan dinikahkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak secara semberono menikahkan mereka kerana setiap orang perlu memikirkan nasab keturunan mereka selepas ini sekiranya berbohong.

Setiap pasangan yang ingin berpoligami di Thailand perlu membuat pengesahan di Pejabat Konsulat Besar Malaysia di Songkhla dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia semula bagi menggelak sebarang fitnah dan hak pasangan wanita sekiranya mempunyai anak kelak. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast