SEPANG – Program Perdana Qurban anjuran Al Khairi Qurban & Aqiqah Sdn. Bhd. (AKQA) menyaksikan 30 ekor lembu dan 68 ekor kambing dikorbankan yang dijangka memberi manfaat kepada 74,350 bakal penerima melibatkan golongan asnaf, anak-anak yatim, pelajar tahfiz, ahli qariah masjid dan masyarakat setempat.
Program dengan kerjasama Sekolah Kiblah bersama Al-Madinah International University itu melibatkan kehadiran lebih 250 orang termasuk pelajar tahfiz dalam usaha mengeratkan silaturahim dan keprihatinan dalam masyarakat.
Pengurus Strategik Al Khairi Qurban, Abdul Hariz Mustafa berkata, semangat gotong-royong dapat dilihat apabila pembahagian proses korban melibatkan kalangan mereka yang memiliki kepakaran masing-masing bermula daripada penyembelihan, melapah, agihan dan memasak.
“Kerja gotong-royong ini melibatkan proses sembelihan, lapah dan agihan dan semua proses ini kita buat pembahagian mengikut kepakaran masing-masing sama ada lelaki dan wanita.
“Malah ibadah korban kali ini turut melibatkan pelajar tahfiz seawal usia 12 tahun bagi memberi pendedahan kepada mereka apatah lagi ramai yang tidak pulang ke kampung kerana cuti sekolah yang pendek,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Abdul Hariz menambah, semua lembu yang dikorban itu datang dari kandang Al Khairi Qurban sendiri yang kini memiliki jumlah keselurhan haiwan itu melebihi 200 ekor.
Beliau memberitahu, Program Perdana Qurban turut dijalan serentak di beberapa negeri oleh pihaknya yang kini menumpukan ibadah di dalam negara sejak tiga tahun selepas sebelum ini aktif menjalankannya di luar negara.
“Pada kali ini, Program Qurban Perdana dijalankan serentak di negeri Selangor, Kedah dan Perlis.
“Bagi luar negara pula, ia dilaksanakan di Uganda, Benua Afrika, Arakan, Mynmar dan Saudi Arabia. Untuk maklumat bagi tahun 2020 hingga 2023, seramai 609,751 penerima manfaat telah diagihkan,” katanya.
Abdul Hariz berkata, AKQA berharap dengan adanya program kolaborasi pada program dapatlah meningkatkan lagi kesedaran mengenai ibadah qurban terutamanya bagi rakyat beragama Islam di Malaysia.
“Ibadah korban adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut. Diceritakan bahawa Baginda Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah ketinggalan dalam melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun, walaupunhanya seekor kambing.
“Ibadah korban adalah tanda kita bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Bagaimana mahu mengatakan kita bersyukur sekiranya kita tidak membuktikannya? Bersyukur dengan melakukan korban dan seterusnya berkongsi kesyukuran itu dengan mereka yang memerlukan”, katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Kiblah, Ismail Omar berkata, pihaknya bersyukur kerana dipilih menjalinkan kerjasama dalam program itu yang memberi manfaat besar kepada pelajarnya.
Kata beliau, ini sebahagian daging korban itu akan dijadikan bekalan makanan kepada pelajar tahfiz untuk tempoh empat bulan akan datang. – MalaysiaGazette