SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Selesai menunaikan solat, baginda berkenan bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum menyertai majlis santapan di masjid berkenaan.
Khutbah Aidiladha bertajuk Ibadah Haji dan Aidiladha Kemuncak Zikrullah dibacakan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Miszairi Sitiris.
Dalam pengisiannya, beliau menyeru umat Islam untuk ikhlas melakukan ibadah korban dan berjuang pada jalan Allah dengan mengikut teladan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
“Islam mengajar kita mengorbankan sesuatu yang berharga sebagai bukti dan saksi kepada akidah demi kebahagiaan hidup di dunia serta akhirat.
“Orang yang berjaya adalah mereka yang melakukan pengorbanan masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran dan perasaan kerana kejayaan tidak datang bergolek,” ujarnya.
Tambah beliau, umat Islam diseru sentiasa berzikir memuji kebesaran Allah supaya hati menjadi tenang dan mengukuhkan keimanan kepada-Nya.
Terdahulu, menerusi Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah agar umat Islam mensyukuri nikmat kurniaan Allah dan melaksanakan ibadah korban demi membantu mereka yang miskin selain menginsafi nasib golongan daif. – MalaysiaGazette