Foto: Agensi Berita Vietnam (VNA)

HANOI – Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam komited untuk membangunkan rangka kerja perundangan yang menyokong kerjasama antarabangsa dalam membangunkan industri halalnya.

Ini termasuk rundingan dan menandatangani perjanjian perdagangan serta memudahkan perkongsian dengan organisasi dan pengedar di Indonesia, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Agensi Berita Vietnam.

Kementerian itu juga menggesa entiti berkaitan untuk meningkatkan pengedaran produk Vietnam yang disahkan Halal bagi memenuhi keperluan pengeksport, sambil menggalakkan peningkatan pengeluaran dan keupayaan eksport.

“Syarikat-syarikat Vietnam dinasihatkan supaya proaktif mendapatkan pensijilan Halal untuk pasaran yang sesuai, membangunkan produk yang mematuhi piawaian Halal tertentu dan melabur dalam mempromosi jenama yang kukuh untuk menguasai bahagian pasaran (Halal) yang menguntungkan ini,” menurut kementerian itu.

Laporan Pusat Penyelidikan Pew meramalkan penduduk Islam mencecah 2.2 bilion menjelang 2030, membawa kepada peningkatan ketara dalam permintaan bagi produk Halal.

Pakar melihat peluang keemasan bagi Vietnam meneroka pasaran Halal yang semakin berkembang pesat, didorong oleh peningkatan populasi Islam global, menurut laporan itu.

Nguyen Tuan dari Pusat Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Bandaraya Ho Chi Minh berkata, ekonomi Halal global dijangka mencecah kira-kira AS$10 trilion menjelang 2027. – Bernama-VNA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast