Penduduk Palestin beratur untuk catuan makanan di pusat pengedaran makanan komunal di kem pelarian al-Bureij di Semenanjung Gaza yang terkepung pada 3 Jun 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Hamas Palestin. Foto AFP

SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha tahun ini pastinya disambut meriah oleh penduduk di serata dunia. Amalan ibadah korban dilakukan untuk memperingati peristiwa penyembelihan nabi Ismail oleh ayahnya nabi Ibrahim. Berdasarkan peristiwa ini, Allah SWT mengajar hambaNya untuk melakukan pengorbanan sebagai tanda menguji keimanan terhadapNya. Allah telah menguji iman Nabi Ibrahim dengan memerintahnya
untuk mengorbankan anak yang disayanginya. Walau bagaimanapun, ia sekadar simbolik apabila Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibas di saat Nabi Ibrahim hampir melakukan penyembelihan.

Peristiwa korban ini juga turut meruntun hati apabila mengenangkan saudara Islam di Palestin yang masih menjadi mangsa kepada kekejaman Israel. Terkini angka kematian kanan-kanak telah meningkat sebanyak lebih 15,000 orang di Gaza. Malah, turut disahkan juga bahawa tentera Israel telah menggugurkan bom sebanyak 70,000 tan semenjak bulan Oktober 2023 di Semenanjung Gaza dan angka bom ini telah melepasi angka bom yang digunakan pada perang dunia kedua iaitu sebanyak 18,300 tan bom antara tahun 1940 hingga 1941. Selain itu, susulan kejadian yang berlaku ramai yang mengambil tindakan untuk memuat naik gambar “All eyes on Rafah” sehingga mencatatkan perkongsian sebanyak 44 juta kali dalam talian untuk memperlihatkan nilai simpati yang tinggi terhadap perkara yang berlaku di Palestin. Walaupun pelbagai pihak telah mengusulkan supaya gencatan senjata dilakukan, namun Israel masih berkeras menyerang Gaza tanpa henti.

Hal ini perlu dipandang serius, sebagai umat Islam, kita hendaklah bersatu hati membantu dari segi kewangan dan sumbangan berbentuk makanan, keperluan harian dan pakaian. Oleh itu, bersempena Hari Raya Haji terdapat pihak yang prihatin melakukan sumbangan dana untuk Palestin. Misalnya Yayasan Budi Ihsan Malaysia melancarkan sumbangan korban menerusi misi “Korban Ihsan Palestin”. Menurut Datuk Seri Rosli  Atan, Pengerusi dan Penganjur Korban Ihsan Palestin menyatakan sumbangan daging korban itu akan menggunakan teknologi retort di mana daging tersebut akan dimasak oleh rakyat Palestin di Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Palestin agar sesuai untuk dimakan oleh penduduk Palestin.

Daging tersebut diretort untuk memastikan ketahanan kualiti makanan tersebut dapat dikekalkan. Justeru, perkara ini akan membantu meringankan beban rakyat Palestin yang mengalami kemusnahan tempat tinggal, kehilangan orang tersayang dan mengalami gangguan psikologi serta mental rentetan serangan Israel yang kejam. Sumbangan yang berterusan amatlah digalakkan dan bantuan amal menerusi badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan pastinya dapat mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin serta memberikan sinar kegembiraan buat mereka menjelang sambutan Aidiladha.

Umat Islam digalakkan agar terus berdoa supaya kesejahteraan mereka terjamin dan dilindungi dari musibah kekejaman Israel. Tuntasnya, sebagai umat Islam, kita seharusnya mempunyai nilai sensitiviti yang tinggi terhadap perkara yang melanda saudara seislam di Palestin. Teruskan usaha dalam menyalurkan apa jua jenis bantuan kepada mereka dan teruskan menyebarkan maklumat perkembangan Gaza di media
sosial untuk meningkatkan tahap kesedaran sedunia tentang kekejaman Israel agar gencatan senjata dapat dilakukan dengan segera. Semoga ibadah korban ini mendidik diri untuk sentiasa menghayati setiap perjuangan dan pengorbanan masyarakat Palestin serta menjadikan kita umat Islam yang kekal istiqamah dalam membantu saudara di Palestin.

Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast