ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Semua syarikat Bumiputera termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan bermula 1 Julai ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, objektif utama kerajaan adalah untuk memperkasa agenda sosio ekonomi Bumiputera  dengan memberi peluang untuk terlibat dalam sektor automotif.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata MITI menerusi kenyataan.

Katanya, syarikat Bumiputera yang berminat perlu mempunyai status  Sendirian Berhad; pemilikan 100 peratus Bumiputera selain mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta.

“Dan sedang  beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya lagi.

Sehubungan katanya, syarikat-syarikat Bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan.

“Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk di

https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796,” tambahnya.

Sebagai rekod, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak tahun 1970 telah berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah dalam pelbagai aktiviti- aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar ini merupakan antara dasar berkaitan Bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu.-MalaysiaGazette