Bayi perempuan yang ditemui di sebuah masjid di Kampung Lubuk Kulit, Kuala Lipis, Pahang. Foto ihsan PDRM. 18 Jun 2024

LIPIS- Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dan lengkap bertali pusat dibuang di sebuah masjid Kampung Lubuk Kulit, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, bayi berkenaan ditemui penduduk kampung ketika hendak menunaikan solat Subuh, kira-kira 5.30 pagi tadi.

Bayi tersebut ditemui terbaring atas sejadah dan dibaluti telekung di ruang solat wanita masjid berkenaan.

“Keadaan bayi tersebut semasa dijumpai dalam keadaan baik, sempurna dan masih mempunyai tali pusat.

“Bayi tersebut kini berada di Hospital Kuala Lipis untuk siasatan dan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pihak polis sedang mengesan ibu bapa bayi terbabit bagi mengetahui punca dia ditinggalkan di masjid berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

Pihak polis memohon sekiranya mana-mana individu mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi bilik gerakan ipd lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette