Yazan Al-arab. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Bekas bek Selangor FC, Yazan Al-Arab kini menjadi rebutan beberapa kelab liga luar negara walaupun dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak di negara oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Pertahanan tengah skuad kebangsaan Jordan itu dilaporkan akan menyertai pasukan Liga Divisyen Satu Korea Selatan (K-League), FC Seoul bagi saingan musim 2024/2025.

Perkembangan terbaharu mengenai Yazan itu dikongsikan oleh laman X, Korea Football News yang memaklumkan bahawa FC Seoul semakin hampir untuk menandatangani pemain berusia 28 tahun itu

Sekiranya perpindahan itu direalisasikan, ia merupakan pencapaian terbaharu buat Yazan apabila dia merupakan pemain Jordan pertama yang bermain dalam saingan K-League.

Bukan itu sahaja, perpindahan Yazan ke FC Seoul juga boleh dianggap sebagai penghijrahan yang berbaloi apabila dia mempunyai peluang bermain bersama bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard.

Untuk rekod, FC Seoul telah memenangi kejuaraan K-League sebanyak enam kali dan naib johan Liga Juara-Juara Asia pada 2021 dan 2013, sekali gus menjadikan pasukan itu sebagai salah satu pasukan paling menonjol di Korea Selatan.

Selain, Yazan juga dilaporkan menerima tawaran rasmi daripada beberapa kelab di Arab Saudi dan turut menarik minat salah satu kelab terkemuka dalam Liga Maghribi.

Dia ditamatkan kontrak oleh Selangor serta-merta selepas FAM mengumumkan bek tengah itu dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara pada 20 November lalu.

Ini kerana pada 24 September 2023, tindakan emosi Yazan yang menendang pengadil selepas aksi suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Selangor FC jelas membawa padah.

Dalam insiden di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor, pemain antarabangsa Jordan itu melakukan kekasaran ke atas Hasrol Mohd Amir sebagai tanda protes selepas layangan kad merah.

Selepas meninggalkan Selangor, Yazan memilih angin baharu dengan menyertai sebuah kelab di Iraq, Al Shorta SC bagi saki baki musim 2023 sebelum menandatangani kontrak dengan pasukan Qatar, Muaither SC pada Januari lalu.

Dia juga muncal tonggak utama Jordan yang mencipta sejarah layak ke final Piala Asia buat kali pertama namun tewas kepada Qatar awal tahun ini. – Agensi