Penyerang Perancis, Kylian Mbappe. X Fabrizio Romano

DUESSELDORF – Nasib malang menimpa penyerang Perancis, Kylian Mbappe apabila dia mengalami kecederaan patah hidung dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan D menentang Austria bagi aksi saingan Euro 2024, pagi tadi.

Perkembangan itu disahkan oleh jurulatih Perancis, Didier Deschamp selepas tamat perlawanan.

Insiden itu berlaku pada minit ke-86 apabila bintang Real Madrid itu berlaga bahu dengan salah seorang pemain Austria, Kevin Danso.

Mbappe kemudian diberikan rawatan oleh pasukan perubatan Perancis dengan jersi putih dipakainya berlumuran darah.

Dia kembali memasuki padang dan segera duduk pada ketika pengadil melayangkan kad kuning kepadanya kerana memasuki perlawanan tanpa menerima kebenaran.

Mbappe kemudian digantikan dengan penyerang veteran Olivier Giroud.

Menurut pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano, pemain berusia 25 tahun itu tidak akan membuat rawatan pembedahan.

Sebaliknya pihak rawatan pasukan akan mencari alternatif lain mengatasi kecederaan yang dialami bagi menghadapi baki dua perlawanan akan datang.

Perancis ketika ini berada dikedudukan kedua kumpulan D berkongsi mata bersama Belanda selepas menang tipis ke atas Austria.

Namun Mbappe dijangka terlepas aksi kedua peringkat kumpulan D menentang pasukan gergasi Belanda pada 22 Jun ini. – Agensi