Ahli Senator Dewan Negara, Datuk Dr Dominic Lau bercakap pada sidang media berhubung kesan harga diesel tanpa subsidi kepada lebih 1,500 penunda kereta di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mendakwa kerajaan telah menafikan hak banyak pihak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyifatkan,  ia merupakan langkah tidak bertanggungjawab kerana membebankan rakyat ketika kos sara hidup semakin meningkat.

Selain rakyat, katanya, operasi perniagaan seperti pengusaha trak tunda juga terkesan dengan penarikan subsidi diesel.

“Memang nak tarik (subsidi) boleh, tapi perlu ada langkah yang tersusun dan rangka untuk jaga industri- industri yang telah diperbaharui.

“Ini baru satu golongan (pengusaha trak tunda) sebenarnya banyak lagi golongan yang tidak dapat menyuarakan perasaan mereka,” katanya.

Santhara Kumar bersama Md Yusof Yahya menyerahkan surat dan memorendum rayuan permohonan diesel subsidi untuk trak tunda kepada Dominic Lau berhubung kesan harga diesel tanpa subsidi kepada lebih 1,500 penunda kereta di Golfer Terrace, Kuala Lumpur Golfer Club (KLGC). Foto Aizat Zainal, 18 JUN 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai langkah penyasaran subsidi diesel, di sini hari ini yang turut dihadiri mantan Timbalan Menteri, Datuk Seri Santhara Kumar.

Selaku mewakili blok pembangkang dan Perikatan Nasional, Dominic berkata, beliau akan terus membawa perkara tersebut ke Dewan Rakyat supaya isu ini mendapat perhatian di semua peringkat.

Dalam pada itu, beliau juga akan mengemukakan surat rayuan Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secepat mungkin.

Hari ini, beberapa wakil dari persatuan 1MTTCC memohon kepada kerajaan untuk memberikan penyasaran subsidi diesel kepada lebih 1,000 pengusaha trak tunda di seluruh Malaysia.

Ini kerana kenderaan jenis towing (carrier) tidak termasuk dalam 23 jenis kategori kenderaan yang layak untuk memohon diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0. – MalaysaGazette