Gambar hiasan.

GOMBAK – Seramai 15 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes keracunan makanan dipercayai selepas memakan bihun goreng dan telur semasa program di sebuah sekolah, 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kesemua yang dipanggil adalah ahli keluarga, patologi, penyedia makanan dan pembekal.

Selain itu, pihak polis turut merakam keterangan penganjur dan ahli jawatankuasa (AJK) makanan majlis tersebut.

“Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dipanggil dan dirakam keterangan setakat ini adalah seramai 15 orang.

“Hari ini pihak polis akan merakam keterangan mangsa-mangsa keracunan yang lain,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Khamis lalu, polis mengesahkan telah merakam keterangan lima lagi individu bagi membantu siasatan dalam kejadian keracunan makanan di Gombak di sini dekat sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan bahawa seramai 82 daripada 247 orang dikesan mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

“Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit sakit perut, demam, muntah dan loya.

“Sebanyak dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan.-MalaysiaGazette