KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Iskandar, laporan dipersembahkan Pengerusi RCI tersebut, Tun Md Raus Sharif kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara, hari ini.
Sesi mengadap bersama Yang di-Pertuan Agong berlangsung selama hampir sejam.
Pada awal tahun ini, media melaporkan penubuhan RCI berkenaan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Februari lalu, kerajaan menafikan RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan semata-mata untuk mencari kesalahan pihak tertentu.
Bagaimanapaun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan dengan berkata, ia ditubuh untuk mencari kaedah penyelesaian serta penambahbaikan mengenai sebarang isu membabitkan kedaulatan negara.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala, Batuan Tengah yang terletak kurang satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira 4 kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Namun, kerajaan Pakatan Harapan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura, pada 28 Mei 2018. – MalaysiaGazatte