KEPALA BATAS – Pemandu kereta yang merempuh kawasan perkuburan di Jalan Kedah dekat sini, pagi semalam alami sawan ketika kejadian berlaku.
Insiden itu terjadi pada jam 2.45 petang itu turut menyebabkan lelaki berusia 37 tahun itu cedera di bahagian rusuk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Zulkeflee Sulaiman berkata, semasa kejadian lelaki itu baru selesai beraya di Permatang Haji Hassan di sini, dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Permatang Tinggi.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lampu isyarat di Jalan Kedah, lelaki itu diserang sawan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan yang dipandunya.
“Impak kejadian itu menyebabkan kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar tembok kubur Jalan Kedah sebelum memasuki kawasan tanah perkuburan terbabit.
“Mangsa yang mengalami kecederaan kemudian dihantar Hospital kepala Batas untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan sebuah kereta terbabas hingga ke dalam kawasan tanah perkuburan. – MalaysiaGazette