Gambar hiasan

PETALING JAYA –  Dengan keperluan kos yang meningkat, jumlah pemohon program Malaysia Rumah Keduaku dijangka terjejas.

Presiden Persatuan Malaysia Rumah Keduaku, Anthony Liew berkata, peraturan terkini mengkehendaki pemohon membeli rumah di Malaysia.

Anthony berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan pembukaan semula program itu yang dibeku selama lebih setengah tahun, tetapi beberapa terma mengundang pertikaian.

“Kerajaan sebelum ini mengumum untuk melonggarkan polisi bagi menarik pelabur dan pesara, tetapi nampaknya syaratnya tidak diturunkan.

“Selama lebih 20 tahun, program Malaysia Rumah Keduaku tidak mewajibkan pemohon membeli rumah dan jika sudah membeli rumah, mereka juga boleh menjual beli secara bebas,” katanya kepada Sinchew Daily.

Ujarnya, walaupun kerajaan telah menurunkan syarat jumlah tabungan, tetapi syarat pembelian rumah pula mengekang permohonan.

“Di Kuala Lumpur, orang asing hanya boleh membeli rumah bernilai RM1 juta ke atas.

“Tambahan dengan syarat pemohon perlu mempunyai simpanan tetap AS$150,000, maka mereka perlu menyediakan lebih RM1.7 juta untuk menyertai program ini,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata, kerajaan juga telah mengetatkan syarat untuk seseorang menjadi ejen program Malaysia Rumah Keduaku.

“Menaikkan syarat modal perniagaan yang didaftarkan masih boleh diterima, tetapi selain ini, kerajaan juga menambah syarat deposit sebanyak RM200,000.

“Ini menyukarkan survival ejen kerana ejen telah kehilangan sumber pendapatan apabila permohonan program ini dibekukan pada Julai 2020.

“Program ini dilaksanakan semula pada 2022, tetapi sambutan tidak menggalakkan dan jumlah peserta tidak ramai.

“Program ini dibeku semula pada Disember tahun lalu dan ejen sekali lagi kehilangan pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette