Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

SHAH ALAM – Masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melakukan korban sebagai ibadah utama setiap kali menjelang AidilAdha.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, seseorang yang mampu membuat bayaran bulanan untuk komitmen seperti kereta dan rumah semestinya boleh mengusahakan tabung bulanan untuk ibadah korban.

“Kos sebahagian lembu adalah sekitar RM850, jadi mereka yang ingin membuat korban hanya perlu menabung sebanyak RM70 sahaja setiap bulan.

“Setiap umat Islam berpeluang untuk membuat korban dan kita perlulah menunjukkan komitmen dengan membuat perancangan kewangan seperti menyediakan tabung khas korban,” katanya dalam Program Gotong Royong Pelaksanaan Ibadah korban di Bangunan Sultan Idris Shah hari ini.

Katanya lagi, ibadah berkenaan dapat menzahirkan rasa kesyukuran atas pelbagai nikmat kurniaan tuhan.

“Tahniah kepada mereka yang telah terlibat menganjurkan dan bergotong royong sepanjang program ini, yang secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan ukhuwah sesama muslim sepanjang masa.

“Kita juga dapat berkongsi rezeki dengan penerima daging korban terutamanya golongan fakir miskin sekaligus mewujudkan nilai saling bantu-membantu yang sangat dituntut dalam agama,” tambahnya.

Beliau mengharapkan penganjuran program seperti ini dapat terus dianjurkan dengan baik setiap tahun, berserta niat yang ikhlas dan dapat dikira sebagai amalan kebajikan yang ada ganjaran dan kebaikan di akhirat kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast