NEW DELHI – Ibu kota India, New Delhi, dilanda gelombang haba yang berpanjangan yang menyebabkan permintaan tenaga melonjak kepada rekod 8,647 megawatt (MW) minggu ini, selepas bahagian utara negeri ini menyaksikan penggunaan 89,000.
Suhu berlegar sekitar 44-45C di bandar dan bahagian lain di utara India sejak berminggu-minggu.
Penggunaan meluas peralatan penyejuk seperti pendingin udara telah memberi tekanan kepada sumber, menyebabkan bekalan elektrik kerap terputus di New Delhi.
Permintaan elektrik di New Delhi telah memecahkan banyak rekod musim ini, pertama kali pada 22 Mei apabila ia mencecah 8,000 MW.
Pada hari Isnin, lapangan terbang di bandar itu menyaksikan gangguan bekalan elektrik yang berlangsung beberapa minit dan menjejaskan perkhidmatan di terminal.
Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk ketika kakitangan syarikat penerbangan menunggu komputer mereka dihidupkan semula.
Bandar ini juga sedang menghadapi krisis air yang teruk.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai memegang baldi memenuhi lori air.
Jabatan cuaca berkata, gelombang panas di utara India berkemungkinan berterusan untuk beberapa hari akan datang.
Berpuluh-puluh orang telah meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba sejak Mac, ketika musim panas tiba.
Pada minggu pertama bulan Jun, lebih 50 orang maut akibat kepanasan dalam tempoh tiga hari di negeri utara Uttar Pradesh dan negeri timur laut Odisha.
Musim panas di India biasanya panas dan lembap, tetapi pada tahun ini, panasnya sangat ketara dengan gelombang haba yang lebih lama dan terlalu kerap. – Agensi