KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul perlu memastikan ada sedikit keseragaman dalam pelaksanaan peraturan-peraturan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat susulan apa yang berlaku di Kelantan.
Langkah itu perlu kerana Johari mahu dikenali sebagai seorang yang berpegang dengan prinsip kebebasan badan legislatif berbanding badan eksekutif serta bebas pengaruh daripada parti-parti politik, kata Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Dengan prinsip itu, saya pasti Tan Sri Johari pun faham dan sedar bahawa beliau tidak ada pilihan untuk mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu kosong juga.
“Sekiranya precedent (duluan) ini tidak dihormati atau tidak dituruti dari segi uniformity (keseragaman), mungkin akan wujud satu krisis Perlembagaan yang serius akibat daripada tidak mengikut precedent yang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dalam hantaran sama berkata, keputusan Speaker DUN Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan bermula hari ini adalah perkara yang sudah dijangka.
Ini kerana, katanya, mengikut peraturan undang-undang tubuh negeri dan Perlembagaan Persekutuan jelas, apabila berlaku keguguran seseorang itu daripada ahli parti, maka kerusi yang dipegang adalah kosong.
“Bagi saya, ini mewujudkan satu precedent dalam negara yang mana apabila dikosongkan kerusi di Kelantan, maka di peringkat Dewan Rakyat tidak ada alasan yang boleh digunakan untuk mengatakan kerusi mereka tidak kosong,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Nik Mohd Amar mengumumkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, parti itu sudah menyerahkan notis terhenti keahlian serta-merta kepada tujuh wakil rakyat yang melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.
Salah seorang wakil rakyat tersebut adalah ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.
Pengisytiharan itu dibuat Nik Mohd Amar mengikut Perkara 31 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan menerusi satu sidang media di pejabatnya hari ini.
Mohd Amar turut memaklumkan SPR perlu mengadakan pilihan raya di bawah Fasa 5 Perkara 46 di mana kekosongan ini perlu diisi dalam temph 60 hari dari tarikh pengisytiharan hari ini.
Mohd Naim yang juga Ahli Parlimen Guan Musang bersama Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik sebelum ini mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sebelum ini memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti 810 undi menewaskan penentangnya, Abdul Aziz Yusuf dari Barisan Nasional pada Pilhan Raya Umum lalu. – MalaysiaGazette