Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri Pahang, Fuziah Salleh berucap pada Kovensyen Reformis 2.0 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Aduan segelintir pengusaha trak penunda kenderaan berhubung subsidi diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, pihaknya akan meneliti dan menimbang keluhan penguasa trak di negara ini yang mendakwa mereka seperti dianaktirikan oleh kerajaan.

“Kita maklum tentang isu dan ini dan ketika ini sesi libat urus secara berterusan akan dilakukan bagi meneliti permohonan yang diterima. Andai kumpulan ini membuat rayuan, kita akan teliti dan minta Jawatankuasa Khas lihat rayuan tersebut,” katanya ketika di hubungi. 

Semalam MalaysiaGazette melaporkan lebih 1,000 pengusaha trak penunda kenderaan menggesa kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan dimasukkan dalam senarai 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan diesel bawah SKDS.

Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) mendakwa sejak penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun, kos operasi mereka naik sekali ganda susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.

Persatuan itu mendedahkan pihaknya hanya boleh mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM150 bagi 1km hingga 10km, namun peningkatan kos menyebabkan mereka tidak lagi mampu patuh kepada pekeliling itu.

Media juga sebelum ini melaporkan syarikat penunda kenderaan antara yang menaikkan harga perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel, ekoran tidak tersenarai dalam kategori kenderaan layak menerima subsidi diesel.

Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendakwa sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan dikesan antara pihak menyalah guna diesel subsidi tahun lalu. – MalaysiaGazette

Penyasaran subsidi: Jangan anaktirikan pengusaha trak tunda