KUALA LUMPUR – Syarikat pengangkutan, Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) akan melancarkan operasi perkhidmatan van perantara (T851) percuma yang akan bergerak dari KL Sentral ke Parlimen bermula 24 Jun hingga 18 Julai ini.
Dalam kenyataan Rapid Bus, pelancaran itu diadakan sempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-15 bagi tahun ini.
“Perkhidmatan ini merupakan alternatif untuk memudah dan melancarkan pergerakan mereka yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen selain mengurangkan kesesakan di ruang parkir di pekarangan Parlimen.
“Selain itu, ianya juga akan memberi ruang kepada pengguna untuk merancang waktu perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Van percuma mula beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 7 pagi hingga 8 malam dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu puncak (7 pagi hingga 11 pagi atau 4 petang hingga 8 malam) dan setiap 60 minit di luar waktu puncak mengikut jadual yang ditetapkan.
“Penumpang akan diambil di Balai Pelepasan ERL KL Sentral dan kawasan berhampiran tempat letak kereta Taman Botani Perdana untuk ke Bangunan Parlimen yang meliputi laluan sepanjang 5km dan mengambil masa 15 minit.
“Kami menjemput semua pihak yang perlu berurusan di bangunan itu untuk memanfaatkan perkhidmatan van percuma ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette