Kanak-kanak warga Rohingya yang bermain di luar tanpa memakai pelitup muka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2021.

PENDIDIKAN adalah salah satu daripada hak asasi manusia daripada lima hak ekonomi, social dan kebudayaan yang tersenarai dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Menurut Artikel 26 dalam UDHR, setiap orang itu sepatutnya berhak kepada pendidikan wajib yang percuma, sekurang-kurangnya di peringkat rendah dan asas. Selain itu, hak setiap kanak-kanak untuk menerima pendidikan rendah yang percuma dan wajib ditekankan sekali lagi melalui Artikel 28 dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang mana Malaysia telah menjadi Negara Pihak pada 17 Februari 1995.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Malaysia membuat pengecualian kepada Artikel ini, khususnya terhadap Artikel 28(1)(a) kerana pendidikan peringkat rendah yang wajib dan percuma hanya diberikan kepada kanak-kanak bertaraf warganegara Malaysia sahaja. Hal ini kelihatan bercanggah dengan semangat kesejagatan dan usaha mempromosi prinsip keadilan serta kesaksamaan yang dibawa oleh Artikel 3 dalam Perisytiharan Pendidikan untuk Semua yang mana Malaysia adalah salah satu negara yang berpihak dengannya.

Bersempena dengan Hari Pelarian Sedunia yang ke-50 pada 20 Jun 2024 bagi memperingati ulang tahun Konvensyen Pelarian 1951, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ingin membicarakan mengenai hak kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan di Malaysia. Sejarah awal pelarian di Malaysia bermula dengan ketibaan pelarian dari Vietnam pada tahun 1975. Serentak dengan ketibaan pelarian dari Vietnam itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi untuk Pelarian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) memulakan operasinya membantu Kerajaan Malaysia dalam memberikan perlindungan dan bantuan kepada pelarian Vietnam sebelum mereka ditempatkan di negara ketiga.

Sehingga kini, data menunjukkan terdapat seramai 50,000 orang kanak-kanak pelarian tinggal di Malaysia. Malaysia pula masih belum meratifikasi dua konvensyen berkenaan dengan pelarian iaitu Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol mengenai Status Pelarian 1967 serta bukan juga negara ahli kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Status Orang Tanpa Kewarganegaraan 1954 dan Konvensyen mengenai Pengurangan Orang Tanpa Kewarganegaraan 1961.

Selain itu, Akta Imigresen 1996/63 tidak membezakan pelarian, pemohon suaka, individu tanpa kewarganegaraan dan tidak berdokumen kerana ketiadaan rangka undang-undang bagi menangani isu pelarian dan isu individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia. Hal ini turut memberikan kesan kepada kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan yang mana mereka dinafikan atau disekat akses kepada pendidikan. Dalam memastikan bahawa hak kanak-kanak di Malaysia bersifat inklusif, Suhakam bersama rakan kolaborasi yang menjalankan usaha menangani isu kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan di Malaysia telah melancarkan satu laporan Ringkasan Dasar yang
berjudul, “Merealisasikan Hak Pendidikan Kanak-Kanak Pelarian dan Tanpa Kewarganegaraan di Malaysia” pada 7 Disember 2023 di Kuala Lumpur.

Laporan ini disediakan hasil daripada konsultasi dengan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk dari Sabah dan Sarawak yang bertujuan untuk memahami isu akses pendidikan yang dihadapi oleh kanak-kanak yang terkesan dan menyokong usaha Kerajaan Malaysia dalam memenuhi aspirasi pendidikan kanak-kanak selaras dengan moto Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) iaitu education for all atau pendidikan untuk semua.

Laporan Ringkasan Dasar tersebut menggariskan bahawa walaupun Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Perkara 8 secara prinsipnya menekankan tentang hak kepada pendidikan yang tidak terhad kepada warganegara sahaja, namun undang-undang yang sedia ada iaitu Akta Pendidikan 1996 membataskan kanak- kanak bukan warganegara daripada menerima hak kepada pendidikan. Keadaan ini selanjutnya mewujudkan diskriminasi dalam hak pendidikan kepada kanak-kanak bukan warganegara.

Selain daripada itu, Akta Kanak-Kanak 2001 juga merupakan salah satu usaha untuk melindungi kepentingan terbaik semua kanak-kanak di Malaysia. Pada tahun 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan Dasar Penolakan Sifar yang mana tiada kanak-kanak yang dikecualikan daripada akses kepada pendidikan. Walau bagaimanapun, KPM telah melaksanakan semakan kepada prosedur kemasukan kepada dasar tersebut pada Mac 2022 yang mana dasar tersebut dijelaskan sebagai dasar yang ditujukan kepada kanak-kanak berkeperluan khas sahaja.

Dalam hal ini, Suhakam berpandangan bahawa dasar tersebut perlu diperluas semula kepada semua kanak-kanak, termasuklah kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan tanpa perlu mengehadkannya kepada kanak-kanak berkeperluan khas sahaja. Setakat ini, kanak-kanak pelarian hanya menerima pendidikan tidak formal atau pendidikan alternatif seperti di Alternative Learning Centres (ALC) atau pusat pembelajaran alternatif sahaja.

Daripada 34% kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan yang berdaftar dengan ALC, didapati bahawa sebanyak 2/3 daripadanya tiada akses kepada sebarang bentuk pendidikan. Dalam pada itu, Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Hak dan Akses kepada Pendidikan untuk Pelarian yang mana Malaysia telah memberi komitmen terhadapnya pada tahun 2022, menyeru supaya kanak-kanak pelarian turut dimasukkan dalam sistem pendidikan kebangsaan di negara anggota ASEAN. Deklarasi tersebut diwujudkan berpaksikan kepada ayat 100, Surah An-Nisa’ dalam Al-Qur’an yang mana Allah SWT telah berfirman, “Dan barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas dan (rezeki) yang banyak”.

Suhakam ingin berkongsi amalan terbaik di negara Thailand yang mempunyai Dasar Pendidikan untuk Semua dan membenarkan semua kanak-kanak tanpa mengira status atau latar belakang untuk menerima pendidikan yang sejagat secara percuma di sekolah awam. Dalam kalangan 95,000 orang pelarian di Thailand, seramai 36% daripadanya adalah kanak-kanak, dan seramai 145,000 orang kanak-kanak pelarian adalah berdaftar di sekolah awam.

Kerajaan Thailand turut mempermudah pendaftaran sijil kelahiran rasmi bagi kanak-kanak yang dilahirkan di Thailand tanpa mengira status atau latar belakang mereka melalui Akta Pendaftaran Sivil 2008 sekaligus membolehkan kanak-kanak menerima pendidikan rendah selama 12 tahun secara percuma. Hal ini selaras dengan penekanan Kerajaan Thailand kepada pendidikan wajib kanak-kanak selama sembilan tahun dalam Akta Pendidikan Thailand.

Penemuan utama yang dirakamkan dalam laporan Ringkasan Dasar adalah mengenai jurang dan cabaran kepada akses pendidikan dalam kalangan kanak-kanak pelarian serta tanpa kewarganegaraan iaitu kekangan bahasa, kekangan kewangan dan dana peruntukan bagi pembiayaan pendidikan yang terhad, ketiadaan dokumentasi, infrastruktur yang tidak mencukupi, kekangan undang-undang terutamanya undang-undang berkenaan kewarganegaraan dan kurangnya penglibatan ibu bapa.

Akhir sekali, laporan Ringkasan Dasar tersebut menyediakan tiga syor utama dan cadangan kepada agensi kerajaan yang terlibat iaitu meningkatkan akses pendidikan formal kepada kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaraan, berusaha memupuk sistem pendidikan kebangsaan yang lebih inklusif dan berusaha menyediakan bantuan melalui inisiatif pendidikan yang sedia ada.

Suhakam berpandangan bahawa pendidikan adalah jalan keluar daripada kitaran kemiskinan, penderaan dan eksploitasi kanak-kanak pelarian dan tanpa kewarganegaran. Hal ini kerana, tanpa pendidikan, golongan kanak-kanak ini tidak berpeluang untuk mengubah masa hadapan seperti berhijrah ke negara ketiga bagi penempatan semula. Justeru, SUHAK AM mengesyorkan agar usaha sama di antara agensi kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat dipertingkatkan agar sekolah alternatif yang dijalankan oleh NGO dapat diberikan pengiktirafan yang sewajarnya di samping memberikan kelonggaran kepada
golongan kanak-kanak yang terkesan untuk menyertai sekolah awam yang terdapat kekurangan pelajar.

Dr. Farah Nini Dusuki
Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suhakam