Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hadir program korban sempena Hari Raya Aidiladha.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyuarakan kekesalannya dilabel sebagai kafir yang tidak wajar menyentuh daging korban semasa menghadiri program rewang sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut berpunca daripada sikap rasis sesetengah pihak sehingga menganggapnya wakil rakyat kaum Cina yang pandai berlakon demi menarik perhatian penduduk Islam.

“Bukan senang jadi wakil rakyat di zaman media sosial yang berleluasa diguna, apabila saya hadir program komuniti Cina, dikatakan hanya jaga geng sendiri.

“Hadir program kaum India pula jadi isu pinggirkan pengundi Melayu Islam, turun ke program penduduk Melayu timbul isu kafir dan berlakon.

“Malaysia negara yang berbilang kaum dan agama, kalau orang yang betul-betul mengikut apa yang saya kemaskini di media sosial, saya santuni semua pihak dan semua program yang hadir ada gambar atau video,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sebagai wakil rakyat,Chean Chung berkata, matlamatnya adalah memahami agama dan budaya semua kaum dalam negara.

Ujarnya, banyak manfaat dengan menghadiri program-program Hari Raya Aidiladha termasuk cara yang betul melapah daging korban.

“Contoh dałam 10 program Hari Raya Aidiladha saya komunikasi dengan ustaz, peserta, pengerusi majlis, surau, wakil penduduk dan golongan wanita dan anak muda. Mereka cerita erti Aidiladha dan semangat gotong royong yang mengeratkan hubungan penduduk setempat.

“Saya diajar cara yang betul untuk melapah daging korban, mengagihkan daging dan menerima sumbangan daging korban. Setiap proses ini saya menerima pengetahuan baru dan lebih memahami makna dan semangat Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya baiki cara fikir dan persepsi dengan tidak berprangsangka buruk antara satu sama lain khususnya yang berbeza agama.

“Belajar menghormati satu sama lain, jangan buat fitnah kerana perbezaan politik. …Di hari yang mulia ini mari kita semua bersihkan hati dan sucikan pemikiran.

“Mari kita semua hayati pengorbanan pemimpin terdahulu dalam membina negara yang stabil untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit mahupun agama,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast