SERDANG – Polis berjaya menumpaskan sindiket dadah melibatkan 308 kilogram syabu dan 73 kilogram ketamin bernilai RM13.5 juta di Puchong, Selangor pada 17 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia berjaya dilumpuhkan selepas pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 36 tahun yang bertindak sebagai pengedar.
“Dia mendapat upah sebanyak RM6,000 untuk buat kerja itu. Modus operandi adalah menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat untuk dijadikan stor simpanan dadah dan di situ juga suspek warga tempatan terbabit membuat kerja pembungkusan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Susulan penahanan itu, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan jenis Hyundai Sonata yang mempunyai ruangan khas bagi memuatkan 80 kilogram dadah selain wang tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan sitaan berjumlah RM37,500.
Hasil semakan terhadap suspek bagaimanapun tidak menemui sebarang rekod lampau serta saringan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kesemua dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada seramai 1.8 juta penagih bagi pasaran Lembah Klang dengan operasinya sudah bermula sejak awal tahun ini.
“Sumber dadah ini dia dapatkan dari negara jiran dan mengambilnya di negeri Pantai Timur. Sudah empat kali suspek berbuat demikian dan untuk siri ini dia tumpas setelah kita tangkap dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan,” ujarnya.
Polis bagaimanapun sedang memburu beberapa lagi suspek sindiket termasuk individu yang merupakan penyewa rumah berkenaan bagi membantu siasatan.
Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 24 Jun ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette