Tomoya Warabino hadir pada Ultraman The Hero Premiere 2024 yang berlangsung di Orange Concourse, Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pelakon Jepun, Tomoya Warabino tidak pernah terfikir dapat melakonkan watak superhero popular yang terkenal di seluruh dunia itu.

Beliau yang berusia 36 tahun mengakui meminati siri Ultraman sejak kecil walaupun berasal dari kampung yang terpencil dan tiada kemudahan televisyen ketika itu.

Tinggal di daerah Miyazaki,  Warabino berkata, Ultraman memberi impak besar pada zaman kanak-kanaknya kerana dikenali menyelamatkan dunia daripada musuh.

“Apabila tonton Ultraman, saya fikir mahu menjadi orang yang melindungi orang lain namun tidak terfikir pun untuk melakonkan watak itu.

“Namun siapa sangka selepas berpuluh tahun kemudian, saya pula ditawarkan watak Ultraman Blazar yang boleh melindungi dunia,” katanya.

Dia hadir pada Ultraman The Hero Premiere 2024 yang berlangsung di Orange Concourse, Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini.

Mengulas wataknya, kata Warabino, beliau ditawarkan watak Ultraman Blazar menerusi pengarah filem itu sendiri biar pun pada mulanya tidak mengetahui watak apa yang akan diterimanya.

Namun, katanya, filem ke-10 lakonannya memberi tuah apabila ditawarkan watak utama.

“Watak ini tidak jauh beza dengan kehidupan realiti saya kerana sebagai Gento Hiruma yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki dalam Ultraman Blazar.

“Jadi ia tidak sukar  untuk melakonkan watak itu dan mudah untuk mendapat kepercayaan orang ramai,” katanya.

Warabino melakonkan watak kapten dan ketua dalam pasukan yang memastikan anak-anak buah sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Sebagai ketua, saya juga tidak mahu anggota pasukan mati dalam pertempuran. Selain perlu melindungi keselamatan semua anggota dalam pasukan namun pada masa sama, saya juga perlu mendengar arahan daripada pihak atasan,” katanya.

Sementara itu, mengulas tawaran kerjasama dengan produksi Malaysia untuk filem superhero atau adiwira, Warabino bersedia untuk mempertimbangkannya.

Namun, katanya, beliau menanti watak yang lebih mencabar selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Sementara itu, pelbagai aktiviti dan pameran menarik berlangsung selama 11 hari bermula 13 Jun hingga 23 Jun ini.

Acara anjuran Tsuburaya Productions Co Ltd dan One Universal Productions Sdn Bhd itu juga menandakan kemunculan pertama wira terbaharu dalam alam Ultraman, Ulttraman Arc di Malaysia.

Satu lagi tarikan utama ialah tayangan perdana filem Ultraman Blazer the Movie: Tokyo Kaiju Showdown di TGV Cinemas mulai 20 Jun dan banyak lagi aktiviti menarik. – MalaysiaGazette