Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

JOHOR BAHRU – Warga emas berusia 70 tahun kerugian sebanyak RM584,000 akibat menjadi mangsa penipuan penyamaran talian, phone scam yang kononnya dibuat oleh ‘pegawai’ Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Mei lepas.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar  berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada mangsa yang juga seorang warga tempatan pada 17 Jun lalu.

“Pada awal Mei tahun ini, mangsa dikatakan telah menerima panggilan dari seorang individu yang mendakwa dirinya ‘pegawai NSRC’ mengatakan mangsa terlibat dengan jenayah penipuan.

“Mangsa kemudiannya telah dihubungi seorang pegawai polis yang memaklumkan terdapat satu akaun bank yang telah dibuka di atas nama mangsa namun dinafikannya.

“Bagaimanapun, suspek telah berjaya meyakinkan mangsa untuk memberikan semua butiran akaun bank untuk tujuan siasatan dan mengikut segala arahan yang diberikan,” katanya.

Ketika itu, mangsa diminta untuk meletakkan salah satu kad ATM dan nombor pin miliknya di lokasi yang diarahkan.

“Seterusnya, mangsa diarahkan untuk membuat pindahan wang ke beberapa akaun bank sehingga berjumlah hampir RM600,000 untuk tujuan siasatan.

“Semakan dengan pihak mendapati berlakunya transaksi pengeluaran dan pemindahan wang ke atas penama yang tidak dikenali,” tambahnya.

Dalam kesempatan ini, Kumar ingin mengingati orang ramai bahawa NSRC hanya berfungsi sebagai pusat yang hanya akan menerima panggilan daripada orang ramai.

“NSRC tidak akan melakukan panggilan kepada mana-mana individu. Jadi sebarang panggilan yang mengaku mereka dari NSRC adalah penipuan semta-mata.

“Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan jenayah penipuan atas talian, mangsa digesa menghubungi NSRC di talian 997 untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan dengan kadar segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast