Dr. Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Penurunan 3 sen harga telur yang diumumkan oleh kerajaan gagal mengimbangi kenaikan 55 peratus harga diesel.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, amat jelas, banyak dasar kerajaan dibuat tanpa pertimbangan yang sedalamnya, menyebabkan rakyat terpaksa menanggung akibat daripada amalan yang tidak bertanggungjawab itu.

Bukan sahaja rakyat terpaksa menanggung tekanan kenaikan kos sara hidup, tetapi kuasa membeli yang menurun juga boleh membantutkan pembangunan ekonomi, jelas beliau.

“Setelah ‘kejutan besar’ harga diesel naik 55 peratus dalam sekelip mata, perdana menteri merangkap menteri kewangan tampil membawa sedikit berita gembira dengan pengumuman penurunan harga telur sebanyak 3 sen.

“Tetapi ia dilihat tidak dapat mengimbangi impak kenaikan harga diesel yang begitu mendadak.

“Di sebalik mahu merasionalisasikan subsidi, kerajaan memperuntukkan lagi RM100 juta untuk memberikan subsidi 10 sen untuk sebiji telur, membolehkan harga telur gred A, B, dan C dalam negara turun sebanyak 3 sen.

Ini jelas menunjukkan wujudnya percanggahan dalam dasar, tambahan pula, sebelum rakyat dapat menikmati penurunan harga sebanyak 3 sen ini, peniaga telur telah menaikkan harga sepapan telur 30 biji sebanyak 50 sen.

“Malah media ada melaporkan bahawa peniaga di pasar malam juga sedang mempertimbang untuk menaikkan harga disebabkan kenaikan harga diesel ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, soalnya, adakah penurunan 3 sen bagi setiap biji telur akan mengakibatkan peniaga menurunkan harga.

“Adakah ia akan mengurangkan perbelanjaan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah? Adakah penurunan harga 90 sen bagi setiap papan telur 30 biji akan menjadikan telur sebagai makanan utama sepanjang hari?” soal Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai sambil menekankan amat penting bagi kerajaan untuk empertimbangkan isu-isu yang relevan dan dekat dengan rakyat ketika melaksanakan apa jua dasar.

Tegasnya lagi, walaupun kerajaan terus memberikan subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 1.0 dan 2.0, namun jelas terdapat pengguna diesel yang tercicir dan tidak mendapat manfaat.

Akibatnya, kos yang meningkat secara tiba-tiba akan ditanggung oleh pengguna, menyebabkan kenaikan harga barang dan menurunkan kuasa beli rakyat.

“Dalam kitaran ini, kita dapat melihat penutupan perniagaan kerana barang tidak terjual, yang akhirnya memberi kesan negatif kepada ekonomi negara,” hujah beliau lagi.

Jeck Seng menyifatkan pengapungan harga diesel yang terburu-buru tidak dapat diimbangi hanya dengan penurunan harga telur sebanyak 3 sen.

Sebaliknya, dalam menghadapi kenaikan harga barang, selain daripada pengawasan dan penguatkuasaan, kerajaan juga perlu mengkaji semula mekanisme pengapungan harga diesel, sambil berusaha untuk menstabilkan pasaran, serta mendengar pendapat dari pelbagai pihak untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih komprehensif.

“Pada masa yang sama, daripada memperuntukkan RM100 juta untuk menurunkan harga telur sebanyak 3 sen, kerajaan sepatutnya lebih memberi perhatian kepada perlindungan bagi keluarga berpendapatan sederhana dan rendah, untuk meringankan tekanan yang mereka hadapi akibat kenaikan harga barang.

“Ini lebih sejajar dengan prinsip subsidi bersasar dan maksud sebenar rasional,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here