Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Seramai 22 orang individu telah selesai direkod keterangan setakat hari ini bagi membantu siasatan insiden keracunan makanan dipercayai berlaku selepas memakan bihun goreng dan telur pada program di sebuah sekolah di Gombak dekat sini pada 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, siasatan masih diteruskan.

Polis kini masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

“Sehingga 20 Jun ini, seramai 22 orang telah dirakam percakapan membantu siasatan dalam kes ini.

“Tambahan tujuh orang lagi yang selesai dirakam keterangan adalah terdiri daripada mangsa iaitu pengetua dan guru-guru,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Ariffin, polis sedang menunggu laporan bedah siasat sebelum melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut dalam kes tersebut.

“Kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas laporan bedah siasat diperolehi dalam tempoh sebulan,” ujarnya.

Pada Isnin, Noor Ariffin mengesahkan polis telah merakam keterangan daripada 15 saksi termasuk penganjur majlis dan juga Ahli Jawatankuasa makanan majlis tersebut untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang dikesan mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

“Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit sakit perut, demam, muntah dan loya.

“Sebanyak dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette