LAHAD DATU – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjun ke sungai untuk menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Sungai Dewata di sini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa berusia 33 tahun bersama keluarga ke sungai tersebut untuk berkelah sebelum adik serta anak saudaranya masing-masing berumur 16 dan 10 tahun yang sedang mandi sungai tiba-tiba terkapai-kapai meminta tolong.
“Lelaki tersebut serta dua iparnya lantas terjun ke sungai dan adik serta anak saudaranya berjaya diselamatkan, namun mangsa tidak dilihat naik ke tebing dalam kejadian pada 11 pagi itu.
“Ibu mangsa yang menyedari perkara itu meminta tolong dua menantunya untuk mencari mangsa yang kemudian ditemukan dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri. Ahli keluarga membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu kira-kira 32 kilometer dari lokasi kejadian untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas hospital pada 12.49 tengah hari dan laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti riadah atau berkelah di sungai terutamanya pada musim hujan yang boleh menyebabkan paras air naik mendadak dan arus deras yang membahayakan keselamatan diri serta nyawa. – BERNAMA