GEORGE TOWN – Mekanik yang ditahan bagi kes tikam tunang kepada bekas isterinya dalam kejadian di Taman Jade, Bukit Gambir di sini pada 10 Jun lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek berusia 33 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 307 iaitu cubaan bunuh.

MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 43 tahun yang juga pemandu bas itu ditikam menggunakan pisau lipat ketika cuba menyelamatkan tunangnya daripada dicederakan oleh suspek.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku ketika suspek pergi ke rumah mangsa untuk mengambil anaknya yang tinggal bersama bekas isterinya.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran antara suspek dengan bekas isterinya apabila wanita itu enggan mengikut suspek bersama sebelum dia cuba menikam menggunakan sebilah pisau.

Mangsa dikatakan cuba menghalang tindakan suspek sebelum tikaman itu terkena pada bahagian dada, leher dan belakang badan. – MalaysiaGazette