Keadaan lori yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, semalam.

KUANTAN – Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas lalu jatuh ke dalam anak sungai dalam kejadian di Jalan Kuantan – Segamat di sini semalam.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Azlan Ahmad, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 8.53 malam.

“Setelah tiba di lokasi, kami mendapati mangsa iaitu pemandu lori itu telah tersepit dan perlu dikeluarkan menggunakan peralatan rescue tool.

“Para anggota yang bertugas berjaya membawa pemandu keluar dari kenderaan itu dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) apabila sedang menerima rawatan,” katanya.

Operasi tersebut telah dianggotai oleh tujuh orang anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Chini bersama satu jentera LRFT-1.

Operasi berjaya dikawal pada jam 9.01 malam, lapan minit setelah anggota bomba bergegas dan tiba di lokasi berkenaan. 

Sebelum ini, dalam kejadian berasingan di jalan yang sama, empat orang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan bas persiaran yang membawa rombongan guru sekolah.

Insiden itu menyebabkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan Kerajaan Persekutuan segera membantu kerajaan Pahang meninjau dan mengambil tindakan bagi menentukan tahap keselamatan Jalan Kuantan-Segamat. – MalaysiaGazette