Fadhlina.

NIBONG TEBAL – Peluang calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini dilihat lebih cerah.

Itu pandangan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek melihatkan masyarakat di kawasan tersebut inginkan perubahan.

“Masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin Sungai Bakap ke arah lebih baik secara holistik termasuk dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.

“Calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin ialah seorang pendidik yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dari segi kepimpinan.

“Beliau adalah anak jati Sungai Bakap yang sudah tentunya memahami denyut nadi masyarakat setempat,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Fadhlina menyeru pengundi Sungai Bakap untuk memberi sokongan penuh kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda pembangunan dapat berlangsung dengan baik.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast