KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli digesa supaya tidak mengelak untuk bersemuka dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi, bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dan pempengaruh media sosial, Lim Sian See.
Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Rafizi perlu mengotakan cabarannya untuk bersemuka dengan kesemua mereka dalam podcast ‘Yang Bakar Menteri’ dikendalikan sendiri olehnya.
“Saya membaca tentang cabaran anda kepada Lim Sian See, Isham Jalil, dan Puad Zarkashi untuk membentangkan pandangan mereka tentang memulihkan ekonomi. Pertemuan yang mengujakan.
“Tidak kira siapa mereka, sama ada mereka budak Najib atau tidak. Dalam Facebook anda, anda telah menggariskan kehebatan anda sebagai pendebat yang tidak takut untuk terlibat dengan orang lain yang tidak bersetuju,” katanya.
Zaid berkata, sebagai seorang menteri, Rafizi perlu mengotakan janjinya.
Beliau menegaskan, Rafizi tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata untuk bersemuka dengan ketiga-tiga individu berkenaan.
“Sekarang adalah masanya. Saya harap anda akan memilih Lim Sian See sebagai mangsa pertama anda. Mari lihat sejauh mana anda pintar. Tapi saya rasa awak tak serius. Anda telah memberikan pelbagai alasan untuk mengelak daripada bertemu dengan Lim Sian See.
“Menteri yang cemerlang tidak perlu meminta kebenaran PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk bercakap dengan sesama warganegara.
“Adakah anda meminta kebenaran PMX untuk menyatakan bahawa ECRL akan menelan kos 30 KLCC? Lebih-lebih lagi apabila PMX baru sahaja berkata ECRL perlu disegerakan,” kata Zaid.
Sebelum ini Sian See mencabar Rafizi untuk menjemputnya sebagai tetamu podcast selepas Ahli Parlimen Pandan itu menyindir pembangkang tidak berani untuk tampil dalam program ‘Yang Bakar Menteri’.
Pada 19 Februari lalu, Rafizi dalam catatan di media sosial bersetuju untuk menjemput Isham, Puad dan Sian See sebagai tetamu.
Rafizi berkata, beliau telah mendapat maklum balas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung jemputan tersebut.
Pada Mac lalu, Rafizi membidas Sian See yang mempersoalkan mengapa beliau bertangguh dalam menetapkan pertemuan podcast antara mereka.
“Lim Sian See ni ada sedikit entitlement. (Dia ingat) dialah manusia paling penting dalam dunia ni, sebab dia orang penting kem Najib (Razak) dulu.
“Saya baru dua minggu spinal operation pun tak penting, asal kena layan dia sebab dialah orang paling penting dalam dunia ini,” sindir Rafizi dalam catatan di platform media sosial X.
Dalam catatan tersebut, Rafizi meminta Sian See menunggu sehingga Ramadan tamat kerana bulan berkenaan dipenuhi oleh umat Islam untuk beribadat.
April lalu, media melaporkan Rafizi berkata, Sian See perlu menunggu beliau menyelesaikan program-program besar untuk rakyat terlebih dahulu.
“Lim Sian See ini tiada kerja lain, hanya mahukan perhatian sahaja. Tapi nanti saya sendiri akan jemput dia ke udara dalam program audio siar (postcast). Tunggu saya selesai program-program besar untuk rakyat dulu,” katanya pada 20 April lalu.-MalaysiaGazette