Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Cadangan membawa masuk sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan kepada kerajaan.

Sebaliknya, khidmat guru sukarelawan itu akan dibayar oleh kerajaan Singapura, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jelas beliau, inisiatif itu memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.

Tegasnya, Inisiatif ini juga sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Malah lantikan itu tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura,” katanya pemberita di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cadangan itu ibarat skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan. – MalaysiaGazette