Tumpahan minyak diesel dari Singapura kini merebak ke Pengerang. Foto: FB Aznan El Adzrin

JOHOR BAHRU – Tumpahan kira-kira 400 tan minyak bahan bakar kapal, MFO 380 di laut akibat pelanggaran kapal di Terminal Pasir Panjang, Singapura sudah merebak ke perairan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian itu menyebabkan pencemaran di kawasan pantai Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

Keadaan itu dikesan semalam selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima laporan daripada Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Menurutnya, buat masa ini, pemantauan berterusan akan dijalankan, selain mengaktifkan Pelan Tindakan Pembersihan Pantai, sekiranya perlu.

“JAS Johor sudah mendapatkan bantuan beberapa agensi lain bagi memantau situasi lokasi dipercayai tercemar.

“Antara terlibat jabatan Laut Wilayah Selatan, Lembaga Pelabuhan Johor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Polis Marin dan Tentera Laut, TLDM,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tumpahan itu berlaku Jumaaat lalu apabila kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang, Singapura.

Insiden itu mengakibatkan kapal tangka berkenaan mengalami kebocoran hingga berlaku limpahan minyak ke perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here