Keadaan SUV yang remuk dalam kemalangan di KM 288 WCE arah utara awal pagi tadi. Foto ihsan JBPM Perak

LUMUT – Seorang wanita maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 288 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kejadian sekitar 1.30 pagi itu berlaku ketika wanita berusia 51 tahun yang memandu SUV Proton X50 seorang diri dalam perjalanan dari arah Lekir menuju ke Beruas.

“Ketika tiba di lokasi kejadian pemandu SUV terbabit dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 34 tahun.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu SUV telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd Aziz di talian 019-880 4450,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast