Mekanik mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba bunuh tunang bekas isterinya pada 10 Jun lalu di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki yang juga tunang kepada bekas isterinya menggunakan pisau lipat, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Ooi Sheow Yean.

Mengikut pertuduhan, duda itu didakwa cuba membunuh Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan pisau berukuran lima sentimeter.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di koridor tingkat sembilan, flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir pada jam 5.50 pagi, 10 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda serta jika menyebabkan kecederaan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan termasuk cubaan membunuh.

Sementara itu, Muhammad Hafizi turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan secara berasingan di Mahkamah Majistret Jenayah 2 dan 3.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 3, Muhammad Hafizi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab di itu di flat sama jam 7 pagi, pada 30 Mei lalu

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Majistret Mohamad Azlan Basir menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Muhammad Hafizi selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat memecahkan cermin kereta bekas isterinya yang menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki tikam tunang bekas isteri akan didakwa esok

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Flat sama pada jam 10.10 malam, 2 April lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here