Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam (belakang tiga kanan) bergambar bersama para pelakon dan Yayasan Chow Kit (YCK), selepas menyaksikan teater komuniti 'Najis Jadi Teman' di Dewan Merbau, di IWK Eco Park , Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 21 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd meraikan ulang tahun ke-30  tahun ini dengan mendidik orang awam mengenai kepentingan pengurusan kumbahan yang cekap demi melindungi dan memelihara alam sekitar.

Uniknya ia disampaikan melalui persembahan teater komuniti amal bertajuk ‘Najis Jadi Teman’.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pertunjukan tersebut sahaja meraikan tiga dekad perkhidmatan dan dedikasi IWK namun menjadi salah satu cara meningkatkan kesedaran masyarakat serta membuktikan sokongan pihaknya terhadap komuniti setempat.

“Kebanyakan kerja-kerja kami di IWK beroperasi di belakang tabir dan sering tidak disedari namun amat penting dalam pemeliharaan kesihatan awam dan alam sekitar.

“Dalam kami meraikan ulang tahun ke-30 syarikat, kami teruja untuk menunjukkan komitmen kami terhadap kesejahteraan rakyat secara amnya melalui kolaborasi bermakna dan kreatif seperti teater amal ini,” katanya ketika malam pembukaan teater amal berkenaan di sini malam ini.

Sebagai rekod, teater berkenaan merupakan usaha sama dengan Wayang Kitchen dan Yayasan Chow Kit (YCK)  membawa penonton menelusuri perjalanan dan cabaran proses rawatan kumbahan.

Ia akan berlangsung esok di Dewan Merbau, di IWK Eco Park @ Pantai Dalam.

Pengarah produksi teater ialah penggiat teater terkenal, Razif Hashim selain menampilkan bakat-bakat besar tempatan seperti penyanyi iaitu Atilia Haron, pelakon, Phraveen Arikiah dan Alfred Loh sebagai pemegang watak utama.

Turut menyertai persembahan teater, bakat-bakat cilik dari YCK, sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) tempatan yang berdedikasi menyokong kanak-kanak dan remaja yang berisiko di kawasan Kuala Lumpur.

Untuk makluman, tiket teater  masih boleh dibeli melalui platform Cloud Joi sehingga 22 Jun 2024 dengan harga RM100 setiap tiket.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast