KUALA LUMPUR – Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap isu Palestin didakwa kerap bertukar-tukar meskipun Kerajaan Malaysia menyatakan dengan tegas terhadap kekejaman rejim Israel kepada rakyat Gaza.
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, lebih kesal apabila Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat seolah-olah mengiktiraf peranan Isreal.
“PMX punya dasar pasal Palestin saya anggap flip-flop. Mac lalu Timbalan Menteri Wisma Putra mengungkapkan ayat yang tak pernah mana-mana menteri atau timbalan menteri luar akan berani atau sampai hati untuk ungkapkan.
“Dia tak katalah nak mengiktiraf Palestin, tapi apa ayat dia, kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel ini….mungkin kita mengiktiraf serba sedikit tentang peranan Isreal di bumi ini, kepala bapak engkau.
“Saya suruh dia tarik balik, dia tak nak tarik balik, suruh speaker… tak apa lah, ini bukan timbalan menteri, ini kenyataan rasmi dalam Dewan Rakyat oleh Kementerian Luar,” katanya pada Forum Rapat Umum Tolak Blackrock di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSACH), di sini, malam ini.
Turut hadir Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Jurucakap SSP, Tian Chua dan Sekretariat PETA, Chegubard, selain Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali; Pengerusi BDS Malaysia, Dr. Nazari Ismail dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Israel tidak pernah mengiktiraf penyelesaian dua negara dalam menamatkan pergolakan berdarah dan pembunuhan etnik di negara Timur Tengah itu.
“Saya tak fikir pegawai-pegawai Kementerian Luar boleh mengizinkan perkara sedemikian
“Alasannya ialah ini berkaitan dengan two state solution, dengan andaian ini akan berlaku, akan ada keamanan dengan two state solution.
“Majoriti rakyat Palestin tidak lagi percaya kepada two state solution. Netanyahu tak tahu…. dan Israel tak pernah iktiraf two state solution,” katanya lagi. – MalaysiaGazette