Surirumah, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh,atas pertuduhan mendera anak angkatnya sehingga maut, dua minggu lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 21 JUN 2024.

IPOH – Seorang suri rumah yang dipercayai mendera anak angkatnya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah Taman Malcop, di sini, kira-kira dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan pertuduhan, wanita terbabit didakwa dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Iman Adelia Yusullah, 5.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Malcop antara 5 hingga 10 Jun 2024.

Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dengan minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak tersebut Siti Nurhidayatul Akmar Mohd Zamry, 28, yang hadir ke mahkamah tidak dapat menyembunyikan rasa marah terhadap tertuduh.

Dia turut mengeluarkan kata-kata “kenapa buat anak aku macam itu” semasa tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Dalam pada itu, nenek kanak-kanak berkenaan, Zanuriyah Mohd Madzlan, 65, yang ditemui media di luar mahkamah mahu keadilan buat cucunya.

Dia hadir ke mahkamah bersama anaknya dari Felda Chini 2, Pahang untuk mengikuti pendakwaan tersebut.

Terdahulu media melaporkan, sepasang suami isteri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera, pada 10 Jun lalu.

Kedua-dua suspek yang juga ibu angkat kepada mangsa berusia 27 tahun sementara suami wanita itu berusia 66 tahun ditahan pada jam 2.30 petang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Suami isteri ditahan dera anak angkat sampai mati

Dera anak angkat sampai mati: Suami isteri direman enam hari

Dera anak angkat sampai mati: Jiran dakwa sering dengar tangisan kanak-kanak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast