Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

PAPAR – Kolaborasi serta hubungan baik antara pemimpin UMNO di peringkat pusat dan bahagian perlu terus dikekalkan bagi memastikan parti itu terus kukuh di Sabah, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tiada mana-mana organisasi, pertubuhan atau parti politik yang mampu bertahan lama sekiranya kolaborasi dan hubungan baik tidak dapat dikekalkan dalam kalangan semua pihak terutama antara pemimpin atasan dan peringkat akar umbi.

“Oleh itu, hubungan pemimpin UMNO di peringkat pusat dan bahagian perlu baik untuk memastikan kejayaan pada pilihan raya akan datang. Kita mahu UMNO sekali lagi menjadi parti yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan Malaysia dan Sabah,” katanya, di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Papar di sini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin dalam UMNO datang dan pergi, namun pemimpin yang tinggal perlu menebus maruah UMNO di negeri ini untuk bangkit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang akan datang.

“Banyak prasyarat untuk kita dapat kembali sokongan rakyat. Rakyat menilai apa usaha kita santuni mereka dan rakyat makin matang dan bijak menilai. UMNO perlu kuat semula untuk berjuang demi bumiputera Islam di Sabah.

“Kerajaan MADANI mesti diperkukuhkan. UMNO kena ada kerusi yang lebih banyak untuk jadi tulang belakang Kerajaan Perpaduan. Semangat kita perlu kental dan jangan senipis bawang, kalau kita separuh jalan kekalahan yang akan menanti kita,” katanya. – Bernama

1 Komen

  1. Lain di mulut lain di hati, sumpah dgn nama Allah pun di khianati , moga Allah beri pengajaran dan hidayah kepada beliau.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here