Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Pertahanan Penang FC, Fairuz Zakaria tidak memandang rendah keupayaan Kedah Darul Aman FC meskipun kelab itu kini berada di tangga ketiga tercorot Liga Super 2024-2025.

Penang FC yang ketika ini berada pada kedudukan kelapan Liga Super masih belum tewas selepas seri dalam tiga perlawanan manakala skuad kendalian Nafuzi Zain bergelut selepas hanya memenangi satu perlawanan sahaja setakat ini.

Fairuz bagaimanapun melihat lawannya itu memiliki kualiti tersendiri yang tidak boleh dipandang enteng oleh Penang FC sambil menyifatkan Kedah tidak akan memberi laluan mudah untuk mereka kembali merebut kemenangan pada aksi Liga Super malam ini.

“Persiapan untuk lawan Kedah adalah 100 peratus dan saya rasa kami telah berikan yang terbaik dalam latihan untuk kami mendapatkan kemenangan.

“Bagi saya, kami tidak pernah sesekali mengambil mudah dalam setiap perlawanan termasuklah aksi lawan Kedah esok (malam ini) sebab sudah tentu mereka akan mengintai peluang untuk mencuri mata.

“Paling penting kita jangan alpa dan perlu sentiasa berjaga-jaga dengan ancaman yang bakal diberikan Kedah malam ini,” jelasnya.

Pemain berusia 27 tahun ini antara tonggak yang diberi kepercayaan membarisi kesebelasan utama dalam tiga perlawanan Liga Super terdahulu.

Justeru, penting untuknya meneruskan aksi konsisten bagi memastikan keampuhan pertahanan yang lebih baik kali ini.

“Sasaran saya secara peribadi adalah untuk bermain sehabis baik jika terus diberi peluang oleh jurulatih.

“Yang penting kena kurangkan kesilapan mudah dan sudah pasti misi untuk merebut tiga mata berharga malam ini di mana kami semua kena menjalankan tugas masing-masing dengan lebih agresif,” tambahnya.

Selain aksi antara Penang dan Kedah, dua lagi perlawanan hari ini membabitkan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC manakala Kuching City FC pula menentang Terengganu FC. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here