Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir

PUTRAJAYA – Ekonomi negara tidak akan terjejas sekiranya Malaysia memutuskan hubungan dengan syarikat berkaitan Israel yang menyokong genosid atau pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekian lama Malaysia dan negara lain boleh membangun tanpa penyertaan syarikat yang mempunyai kepentingan Israel.

“Dulu tak ada Israel pun kita boleh maju. Boleh bergerak untuk dapatkan kemerdekaan. Nak kata kerana Israel ekonomi kita akan terjejas. Tidak benar.

“Kerana kita lihat Amerika Syarikat kerap kali kenakan sekatan kepada banyak negara. Tetapi ini tidak menjejaskan ekonomi kita. Pandai-pandailah kita usahakan untuk mengatasi masalah pemisahan kita daripada Israel,” kata Dr. Mahathir kepada media.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini. Turut hadir bekas Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin yang juga Pengerusi Projek 66.6.

Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir diiringi Pengerusi Projek 66.6, Datuk Zuraida Kamaruddin bergambar bersama peserta sebelum meninggalkan majlis Penyerahan Watikah Peserta Projek 66.6 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

Dr. Mahathir ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahwa ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan semua hubungan dengan syarikat berkaitan Israel.

Ini berikutan bantahan terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

GIP yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu milik penuh Blackrock Inc yang didakwa secara tidak langsung membiayai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel ke atas penduduk Palestin di Gaza.

Sehingga kini lebih 37,000 telah maut dalam serangan berterusan oleh Israel sejak lapan bulan lalu dengan kematian sehari melebihi 100 orang.

Sementara itu Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa syarikat tempatan harus diberi peluang dalam pemilikan saham MAHB.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai banyak bakat yang berkebolehan selain boleh belajar kepakaran baharu dan berupaya untuk membeli teknologi.

“Kita ada kebolehan. Kita dapati negara kita banyak orang kalau tak letak barang daripada luar negara tak terima. Sepatutnya kita boleh buat semua ini sendiri. Kita boleh belajar kalau tak ada kebolehan, kita boleh beli teknologi pun.

“Tetapi saya nampak kita lebih berminat beri peluang kepada syarikat asing di luar negara mendapat kontrak dan keuntungan. Ini satu dasar yang tidak menolong membangunkan keupayaan kebolehan kita dalam bidang teknologi,” katanya.

Anwar semalam menjelaskan kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana ini juga dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Anwar berkata, rundingan dengan GIP harus dilakukan terlebih dahulu.

“Umat Islam khususnya rakyat Malaysia berpakat la. Kita dari segi kerajaan dan saya sendiri buat pendirian maksimum depan kuasa besar, jumpa pemimpin Hamas. Kita dah buat sedaya upaya kita.

“Saya percaya sebahagian yang menentang ada hujahnya dan ikhlas, tapi sebahagiannya nak tunggang politik. Jangan guna isu ini kerana isu ini harus persatukan kita,” kata Anwar selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, di Petaling Jaya semalam.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg ni aku setuju dgn Tun. Changi Airport Group uruskan sendiri aiport Singapore hingga jadi airport antara terbaik di dunia…tak perlu Black Rock pun…

Comments are closed.