KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meluangkan masa hari ini menziarahi bintang skuad Harimau Malaya Faisal Halim yang mengalami kecederaan teruk akibat disimbah asid bulan lalu.
Faisal yang juga pemain Selangor FC (SFC) melahirkan perasaan terharu kerana tidak menyangka negarawan tersebut sudi melawat beliau dan keluarga.
Menurutnya, kunjungan Dr. Mahathir serta doa yang diberikan oleh rakyat akan membuatkan dirinya cekal dan berusaha untuk kembali ke arena bola sepak.
“Tidak pernah terjangka untuk menerima kunjungan dari insan hebat hari ini. Terima kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi meluangkan masa untuk menziarahi saya sekeluarga.
“Insya-Allah, saya akan terus cekal dan berusaha keras untuk kembali suatu hari nanti. Terima kasih semua kerana terus mendoakan,” katanya.
Dalam foto yang dikongsi di Instagram, Faisal antara lain kelihatan bersalam sambil mencium tangan Dr. Mahathir. Ahli keluarga Faizal turut bersama dalam pertemuan dengan negarawan tersebut.
Pada 5 Mei lalu negara digemparkan dengan insiden Faisal disimbah asid oleh dua lelaki.
Video berdurasi 56 saat yang tular di media sosial memperlihatkan seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi sedang menunggu di belakang sebuah kereta hitam sambil memerhatikan Faisal sedang berjalan ke arah keretanya.
Selepas 10 saat kemudian, ketika Faisal ingin membuka pintu kereta, lelaki yang memakai baju hitam berkenaan segera menyimbah asid terhadapnya berkali-kali.
Suspek kemudiannya melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang sedang menunggu bersama motosikal tidak jauh dari lokasi kejadian.
Kelihatan di dalam video CCTV itu, isteri Faisal, Nur Syazwani Mizuana Shahril cuba mengejar motosikal suspek, namun tidak berjaya sebelum meminta pertolongan daripada orang ramai yang berada di sekeliling.
Faisal dibenarkan keluar dari hospital selepas 20 hari menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Kemunculan pertama beliau dalam masyarakat umum pada 12 Jun mengundang simpati.
Ini kerana kesan melecur daripada bekas simbahan asid jelas kelihatan di bahagian muka dan lengan Faisal yang dinobatkan sebagai penjaring tercantik dalam Piala Asia di Qatar.
Sehingga kini pelaku jenayah tersebut masih lagi bebas. -MalaysiaGazette