KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup 700 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM56,000 ke Thailand di kawasan sempadan negara di Padang Terap semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, daun ketum itu dirampas dalam sebuah pacuan empat roda di kawasan hutan berhampiran sempadan pada 6.30 pagi.
“Pasukan menemukan Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil siasatan mendapati 70 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 700kg dengan anggaran nilai sebanyak RM56,000 berada di dalam kenderaan itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua bungkusan dan kenderaan terbabit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM81,000 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.
“Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazette