IPOH – Anggota tangan kiri manusia ditemui di lokasi kebakaran kereta di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini pada Ahad.
Bahagian anggota badan yang telah putus dengan terdapat kesan darah itu ditemukan atas jalan raya, bagaimanapun difahamkan tiada anggota tubuh badan lain dikesan.
Penemuan itu disedari anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun yang menjalankan operasi pemadaman kebakaran kenderaan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 pagi.
Ketua BBP Tambun Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, berdasarkan kepada maklumat awal, kebakaran berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Katanya, nombor pendaftaran kereta terbabit bagaimanapun tidak dapat diperolehi ekoran kereta terbabit telah terbakar pada kadar 95 peratus.
“Terdapat juga sebuah kereta Proton Saga dan Honda Accord di lokasi kejadian yang dipercayai terbabit dengan pelanggaran.
“Bagaimanapun semua mangsa yang terlibat telah tiada setibanya bomba di tempat kejadian.
“Sebaliknya, hanya terdapat pergelangan tangan manusia telah putus di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Menurut beliau, sembilan anggota bomba melakukan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan terkawal sekitar jam 11.30 pagi.
“Kes telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi ditamatkan pada jam 11.49 pagi,” katanya lagi.
Sementara itu, difahamkan, sebelum kebakaran, berlaku insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu sebelum ahli kumpulan terbabit bertindak membakar kereta tersebut. – MalaysiaGazette